PPSMI: Guru puas hati penjelasan TPM
>> Friday, August 7, 2009
Warga pendidik berpuas hati dengan penjelasan yang diberi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Pelajaran mengenai pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Mereka turut berpuas hati dengan penerangan oleh Menteri Pelajaran itu berhubung penjelasan pelbagai isu berbangkit lain selepas pengumuman pemansuhan itu.
Mereka turut berpuas hati dengan penerangan oleh Menteri Pelajaran itu berhubung penjelasan pelbagai isu berbangkit lain selepas pengumuman pemansuhan itu.
Majlis penerangan itu telah diadakan pada Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dihadiri lebih 1,000 warga pendidik serta Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan warga Kementerian Pelajaran.
Menurut guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu 4, Kampung Jawa, K. Indrani, walaupun perkara tersebut telah disiarkan oleh media massa namun memang sewajarnya Kementerian Pelajaran memberi penerangan lanjutan.
``Hari ini kami mendapat penerangan daripada Menteri Pelajaran sendiri dan ini amat dialu-alukan,’’ katanya.
Menurut beliau, penjelasan daripada Ketua Pengarah Pelajaran juga turut membantu memperincikan lagi penerangan yang telah dibuat.
Bekas guru yang juga ahli Majlis Buku Kebangsaan, Mohd Sharif Apen berkata, melalui penerangan itu semua warga pendidikan lebih faham mengenai isu yang berbangkit.
``Sudah jelas warga pendidik perlu patuh dengan dasar yang dibuat namun surat pekeliling oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengenai hal ini patut diedarkan ke sekolah-sekolah,’’ katanya.
Menurut beliau, sebelum ini pelbagai andaian dibuat oleh warga pendidikan mengenai isu yang timbul.
``Penjelasan ini amat bermakna dan kita tahu sebarang dasar baru yang dibuat akan melalui proses yang mengambil masa,’’ katanya.
Guru Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah, Banting, Norafizah Ahmad berpuas hati mendapat penjelasan secara terus daripada pihak yang berkaitan.
``Semuanya jelas malah dialog bersama Ketua Pengarah selepas itu turut memberi peluang kepada kami untuk mendapat maklumat lain,’’ katanya.
Sementara itu, guru dari SJK Cina (SJKC) Kong Hoe, Kelang, Liew Swee Pheng berkata, banyak perkara mengenai pendidikan diketahui melalui media massa sahaja.
``Kita dapat tahu dari media massa dan sewajarnya majlis seperti ini diadakan iaitu dari pihak bertanggungjawab secara terus kepada warga pendidik,’’ katanya.
Menurut beliau, majlis dialog yang diadakan juga turut memberi peluang kepada golongan pendidik melontarkan pendapat.
``Contohnya kami di SJKC juga menghadapi masalah kekurangan guru bahasa Cina kerana tidak ramai pelajar berminat untuk mengambil mata pelajaran itu,’’ katanya.
Selain isu pemansuhan PPSMI, Muhyiddin turut menjelaskan isu penetapan had 10 mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), syarat wajib lulus mata pelajaran bahasa Inggeris dan Memartabatkan bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI).
0 comments:
Post a Comment